Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam
mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal
yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh
perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika
kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah
pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah
keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang
berwibawa.
Firman Allah SWT:
“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan
kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam
isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal
manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah
terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi
wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya
isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan
gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik
isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal
berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang
dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang
menyebabkan seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka,
pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya.
Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di
dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh
daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja
pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing
oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan
semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan
pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan
ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari sedikit
sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta
memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan
kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi
ragam isteri yang mencabar kesabaran suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan
menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa
daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami
tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh
mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan
tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran
tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan
ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita
dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu
Rasulullah SAW.
Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu
akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan
sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh
Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda
lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh
baginda. Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu
tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun
dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda
bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu
sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah.
Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk
perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat
akhlak Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia
sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah
perempuan tua itu, menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua
kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan
kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun
yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi.
Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri
salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa
mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali
kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat
menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan
dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin.
Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk
memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat
bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu,
suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang
tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri
bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih
daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai
ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu
yang tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan
sifat egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala
bersama Siti Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55
tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala
Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada
masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah
diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya
Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya
Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya
sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan
bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri
asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan
isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan
tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma
jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan
perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah
rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala
kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak
mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu,
emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami
walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan
itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri
sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya
(sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya
Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya
tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut
taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda
kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang
perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa
perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang
marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab,
bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka
lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.
Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara
tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu
disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh.
Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara
yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara
yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada
baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang
isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam
rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?”
Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak
terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang
dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus
dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak
dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini
diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya
supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya
kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu.
Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi
isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun
tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya
sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan
sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh
isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada
persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing
untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh
Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana
beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan
Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.”
Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang
menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya
tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah
orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak
menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi
sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit
jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu
sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang
sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi
kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada
tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang
disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah
berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak
menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut
meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan,
barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan
perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah
suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami
dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan
raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai
penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami
sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan
sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia
akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah
SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi
kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi
akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah
boleh membahagiakan seisi alam.
Ya Allah hambamu redha dgn ketentuan jodohmu....mudah2an sedikit demi sedikit aku dapat membimbing isteriku ke arah nur shakinah....mudah2an juga aku menjadi seorang suami yang dikasihi dan dihormati isteriku.....aku mohon pertunjukMu....amin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan