” Apa masalah yang biasa ditempuh bila kita dah kahwin ye? ” Tanya seorang sahabat.
” Jemu! ” Jawab saya pantas.
” Jemu? Dah kahwin pun ada jemu ke? ” Terus soalan itu diaju, kehairanan mungkin.
Saya tersenyum.
Ya, itulah antara masalah besar bila berumahtangga. Jemu.
Bosan atau boring, masih kurang tepat untuk menterjemahkan. Ia adalah jemu. Itu paling tepat.
Pakar perunding keluarga seringkala menyebut faktor-faktor asas
kenapa masalah jemu itu berlaku. Meskipun saya juga akan menyebut
perkara yang serupa, namun terasa ‘lecah’ sebuah penulisan tanpa
menyebut hakikat tersirat di sebalik sesuatu masalah.
Syaitan itu hakikatnya tidak pernah duduk diam dari memancing manusia
agar termakan umpan jahatnya, lantas bisa ditarik untuk menuruti segala
kemahuannya. Bila bertemu dua orang yang belum berkahwin, akan
diumpannya agar jatuh ke lembah zina. Ataupun, umpan yang lain adalah
agar rasa cinta kerana Allah bertukar kerana selain Allah, lantas
menatijahnya perpisahan dan permusuhan sebelum sempat mendirikan masjid.
Kalau orang yang sudah berkahwin pula, umpannya adalah agar berpisah.
Begitulah permainan syaitan, melemahkan hasrat para pemuda untuk
bernikah dan menyuntik rasa jemu kepada pasangan yang sudah bernikah.
Matlamatnya tetap sama, agar sekalian hamba Allah ini hidup dalam
kelalaian dan jauh dari kebaikan. Hasrat yang nyata berbeza dengan Rasul
Junjungan kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Baginda dinukilkan
oleh Allah sebagai sangat mengambil berat dan mengimpikan kebaikan ke
atas ummatnya.
Syaitan pula, sentiasa mahu merosakkan.
Justeru, jarum jemu adalah antara yang pasti akan disuntik khusus kepada sebuah perhubungan yang telah halal.
JEMU : CEPAT ATAU LAMBAT?
Sesetengah cerdik pandai menyebut : nikmat nikah itu hanya sebulan.
Sebahagian lain menyebut ; hanya tiga bulan.
Sebenarnya, yang dimaksudnya itu bukanlah setelah sebulan atau tiga
bulan maka habislah nikmat pernikahan. Tidak sama sekali. Ia
bertentangan dengan firman Allah dalam Surah Ruum, di mana telah Allah
nyatakan perkahwinan itu tercipta dengan wujud di dalamnya sakinah (
ketenangan ) , mawaddah ( kasih sayang ) dan rahmah ( kasihan belas ).
Apa yang dimaksudkan lebih berbentuk keindahan pada bayangan orang
yang belum berkahwin. Ibaratnya baru dapat lesen kereta, mahu pegang
stereng sentiasa. Saya teringan aduan seorang isteri yang mempunyai
masalah rumahtangga :
” Ustaz, dia dulu tak macam ni. Dulu mula-mula kahwin, dia nak saya dengan dia 24 jam. Kalau jalan kat luar tu, dia pegang tangan saya tak lepas-lepas, sampai basah berpeluh tangan saya ni ustaz. Tapi sekarang, jalan sama-sama pun susah sangat. Kalau ada pun, jalan jauh-jauh..”
Begitulah.
Mula-mula kahwin, banyak rahsia yang mahu disingkap. Banyak perkara yang mahu diketahui. Banyak benda yang hendak diguraukan.
Masing-masing selalu fikir itu dan ini apabila tiba masa halalnya
nanti. Nak bergurau senda, nak bercerita, nak kongsi rasa, pelbagai.
Itulah keindahan yang biasanya difikir, selain aspek nafsu yang tidak
boleh disangkal kewujudannya. Namun jika kurang cermat dan tidak
berhati-hati, maka ada akibat yang bakal menanti. Sebab itu ada pesanan ;
keseronokan itu mungkin hanya sebulan, mungkin tiga bulan, kemudian?
Ia sekadar mahu menjentik agar tidak lupa berfikir, meski tidak ramai
yang mampu mecerap hakikat di sebalik bahasa pengalaman berbanding
bahasa buku yang mereka tahu.
FAKTOR
Habis ‘modal’.
Sudah tahu semua perkara.
Sudah kenal luar dan dalam. Hati budi, perangai, tabiat.
Dan yang agak malang ; baru tersedar ‘indahnya’ zaman bujang. Mahu
kembali bujang. Tak betah duduk dengan ‘kaki terantai’ dan bahu tergalas
tanggungjawab.
Alam perkahwinan bukan alam lakonan. Selama mana mahu berlakon
hipokrit sedangkan duduk sebumbung makan semeja tidur sebantal?
Akhirnya, kelemahan yang disembunyi di awalnya kerana malu, akan
tersingkap juga. Apatah lagi jika ada keaiban tertentu.
Ada kes di mana salah seorang daripada pasangan mempunyai masalah bau
badan, namun tiada inisiatif untuk mengatasi masalah tersebut. Fikirnya
masalah ‘remeh’ dan boleh disorok dengan perfume atau wangian tertentu.
Akhirnya apa yang disangka sebagai remeh itulah yang mendatangkan badai
perbalahan dalam rumahtangga. Sampai bila mahu berlakon peka dengan
alat kosmetik sedangkan sebelum berkahwin hanya dijamah sekali sekala?
Itu bukan sikap yang terdidik utuh dalam diri, itu cuma lakonan agar nampak elok di mata suami atau isteri.
Sama jugalah dengan kes merokok.
Sebelum berkahwin mahu berhenti merokok dan beritahu bakal isteri,
dia bukan perokok. Akhirnya tidak mampu bertahan, jadi perbalahan pula
dalam rumahtangga bila ‘bius kesedaran’ mula hilang setelah lama
bernikah.
Saya sebutkan beberapa di atas untuk menampakkan faktor.
Kelemahan adalah sunnatullah pada diri manusia, siapa dia sekalipun.
Samada kelemahan fizikal dia ataupun sikap dan perangai. Banyak berlaku,
rasa jemu kerana apa yang disangka begitu dan begini sebelum kahwin,
rupanya tidak seindah yang difikirkan. Setiap hari dengan sikap yang
sama, rajuk yang sama, gurau yang sama, lawak yang sama, tabiat yang
sama, semua itulah yang menatijahkan jemu.
APAKAH JEMU ITU HALANGAN UNTUK BAHAGIA?
Jawabnya tidak.
Masalah tak semestinya halangan.
Masalah untuk diselesaikan, bukan untuk dipejamkan mata.
Jemu akan datang setelah fatrah ‘honeymoon’ mula beransur. Kemudian
setahun, tiga tahun, lima tahun dan seterusnya. Ini cuma perkiraan
manusia sahaja. Mungkin ada yang tidak, wallahua’lam. Biasanya kiraan
disebut kerana kajian ataupun masalah-masalah yang biasa didengar atau
ditangani.
Bila jemu, ubatnya adalah menyingkirkan kejemuan tersebut. Dengan
kata lain, berusaha untuk menyegarkan kembali perhubungan yang telah
terbina. Asasnya sudah tentulah kembali kepada niat mendirikan
rumahtangga, kembali beristighfar dan bermuhasabah atas kelalaian dan
kealpaan. Sesudah itu, berusahalah kerana lapangan kreativiti cukup
luas.
Variasikan masakan adalah cara biasa yang dibuat oleh isteri. Mungkin
boleh ‘up’ sikit, variasikan cara melayan suami ketika makan, ataupun
cara mempersembahkan hidangan itu sendiri.
Kadang-kadang manusia ini pelik. Sebelum dapat ( sebelum bernikah )
macam-macam difikirnya untuk kehidupan berumahtangga, semua yang
indah-indah dan kreatif-kreatif belaka. Tapi bila sudah lama sedikit,
kreativiti hilang entah ke mana. Yang longlai dibiar longlai, yang lesu
dibiarkan lesu.
Seolah-olah merelakan sahaja putaran yang biasa-biasa itu terus
menjadi rutin yang biasa-biasa, atas nama ‘kehidupan orang berkahwin
yang banyak tanggungjawab dan banyak lagi hal untuk difikir’. Masalahnya
bukan jemu, tapi tidak mahu berusaha menyingkirkan jemu.
Ianya lebih kepada permasalahan sikap. Ego yang menebal dan
keengganan untuk bertindak menyelesaikan masalah ketika masalah itu baru
bertunas, bukan bila sudah menjadi barah.
Anda tahu kan, punca besar kepada masalah rumahtangga adalah komunikasi?
Bila masing-masing dilanda jemu, komunikasi cemerlang jauh dari
berlaku. Masing-masing macam ayam dengan itik. Main angguk-angguk saja.
Sukar untuk duduk berdua berkongsi bicara, selesaikan masalah bersama
atau meluangkan masa untuk mendengar luahan rasa dari pasangan kita.
Bercakap-cakap boleh membendung masalah dari berlarutan. Dan antara
masalah yang boleh diselesaikan dengan bercakap adalah jemu itu sendiri.
Ada orang kata, ah, bercakap lebih menambah jemu. Maka janganlah
jadikan bercakap itu jemu!
Bercakap ertinya berkomunikasi. Kalau asyik dengan suasana yang
serupa sahaja, tentulah akan jemu. Bercakaplah di tempat yang berbeza,
suasana yang berbeza, yang boleh menjadikan pasangan kita merasa
‘suprise’ dan seronok, barulah apa yang terbuku di hati mengalir elok di
lidah. Setelahnya, masing-masing akan terasa bahawa hubungan itu
sebenarnya indah.
Yang penting, biarkan syaitan menangis dengan usaha-usaha kita.
Jangan sampai dia tertawa melihat retak belahnya hubungan yang terbina.
Sekadar itu untuk dikongsikan.
Kenalilah jemu dan faktor-faktor berlakunya jemu sebelum anda
berumahtangga. Inilah namanya ilmu rumahtangga yang perlu dituntut, biar
ada isi di dada. Bakal suami yang membaca, ambillah tanggungjawab.
Kalian akan menjadi pendidik dan pengemudi, insyaAllah jika teguh kalian
bertapak, akan selamatlah isteri yang bersandar di belakang.
pss....tak jemu dengan pasangan..pelbagai cara dan kaedah dalam hubungan..yang menjemukan ialah bergaduh terlalu kerap dan isu yg sama..juga pasangan lakukan perkara yg sama yg menjadi punca bergaduh....
pss...cara terbaik...BUAT PERUBAHAN DIRI, BAWA PASANGAN KE TEMPAT ILMU,JALAN2 MAKAN ANGIN,JANGAN ASYIK DOK RUMAH JE UNTUK BERDATING BW JALAN MAKAN2 KE....INGAT TARIKH2 PENTING,BERILAH HADIAH..JGN TUNGGU TARIKH HARI LAHIR ATAU UNIVERSARRY.....BILA2 MASA......PASTI BERJAYA DAN BAHAGIA..
Jemu itu mainan syaitan ...hati2...pasangan mana yg merasai begitu maknanya syaitan sudah ada dalam hatinya....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan