Pabila
usia seseorang itu meningkat ke arah usia 40 tahun, atau apabila ibu atau
bapanya meninggal, sesuatu mulai terlintas di benak fikirannya.
Pertama,
ialah dia sudah jauh menjalani masa dunia ini. Kedua, berapa lagi usianya
yang bakal tinggal bila dibandingkan dengan usia orang tuanya. Ketiga, dia
juga mulai berfikir akan risiko-risiko penyakit seperti mereka yang telah
berusia atau yang telah dilalui oleh orang tua atau kaum kerabatnya.
Seperti mana seseorang melihat usia
40 tahun sebagai usia matang, usia yang penuh pengalaman atau usia untuk
melihat dunia dari perspektif yang baru (atau seperti kata orang "life
begins at 40"), maka pada waktu ini juga kesihatan sesetengah orang boleh
berada di tahap yang berisiko.
Kekerapan mendapat sakit-sakit
ringan, kadang-kadang tulang dan sendi-sendi keradangan, membaca sudah
terpaksa menggunakan kanta, alahan terhadap makanan tertentu semakin kuat
dan lelain masalah lagi mungkin antara beberapa simptom kecil yang
berkemungkinan dihadapi oleh seseorang apabila dia sudah melintas usia 40
tahun.
Namun risiko lebih besar yang harus
diberi perhatian ialah risiko yang melibatkan keadaan lebih kronik, risiko
kebergantungan kepada ubat alopati, risiko terlantar di rumah (@ hospital)
ataupun kematian. Ini selalu diperkatakan oleh masyarakt kita sebagai risiko
penyakit tiga serangkai.
Tiga jenis penyakit ini memberi
kesan yang amat besar terhadap gaya hidup apabila seseorang itu telah
disahkan menghidapinya. Justeru, sangatlah wajar dalam usia dewasa ini kita
memberi lebih perhatian terhadap kemungkinan tiga jenis penyakit ini supaya
kita berusaha mengelaknya.
Yang dimaksudkan itu ialah penyakit
kencing manis (diabetes), darah tinggi dan penyakit jantung. Penyakit
jantung atau penyakit jantung koronari selalu disebut-sebut sebagai pembunuh
nombor wahid dalam kategori penyakit yang berisiko membawa kematian. Paling
tidak, jika sekadar terlantar di rumah (justeru jantung atau akibat
stroke contohnya)- hidup dengan bantuan peralatan dan
orang lainpun sudah cukup tidak menyeronokkan.
Sementara itu, pada tahun 2010
Berita Harian melaporkan Kementerian Kesihatan
telah mendedahkan bahawa Penyakit Tidak Berjangkit (PTB) atau NCD
menunjukkan peningkatan ketara pada penyakit darah tinggi (yang meningkat 44
peratus), kencing manis (meningkat 80 peratus) dan kegemukan (hampir 220
peratus).
Mengapa hal ini berlaku ? Umumnya justeru gaya dan
amalan hidup masyarakat hari ini. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan
anggota masyarakat kita mengabaikan perkara asas dalam rutin hidup seharian.
Ramai sekali yang tidak mengambil makanan seimbang,
mengutamakan makanan segera (fast-food), makan tidak tepat pada waktu, merokok, kurang atau tidak bersenam, banyak
lepak/relaks dan suka menonton tv sambil mengunyah jajan. Itu
merupakan antara amalan tidak sihat yang menjadi budaya masyarakat masa kini.
Apabila ditanya, pasti kebanyakan kita cenderung
memberi jawaban seperti tiada masa, tidak berkesempatan kerana kesibukan
kerja, malas, sudah biasa (jadi tabiat) dan pelbagai alasan yang direka-reka bagi membenarkan tabiat salah yang
dilakukan.
Apabila usia sudah meningkat 40 atau 50 tahun,
kesan gaya hidup seperti di atas mulai dirasa. Kini baru terasa kemungkinan
risiko mendapat penyakit berbahaya, seperti ketiga-tiga penyakit di atas.
Apa lagi, bila berat tubuh juga meningkat ke paras obesiti, risiko tadi
menjadi kian hampir.
Lebih teruk daripada itu, mutakhir ini ramai pula
mereka yang sebelum masuk skim pencen sudah didapati menghidap penyakit
kegagalan buah pinggang. Meskipun kegagalan buah pinggang tidak mengenal
usia, tetapi semakin hari semakin jelas, mereka yang berada dalam usia yang
lewat turut berisiko.
Apakah daripada tiga, akan lahir pula penyakit
yang harus kita gelar empat serangkai? Ingatlah, kitalah yang paling
berperanan sebagai penentu kesihatan kita di masa hadapan. Kita tidak harus
dipengaruhi oleh budaya sekeliling kita.
Jadi, sama-samalah kita jaga pemakanan kita,
amalan harian kita, dan semua perkara yang mempengaruhi kesihatan masa depan
kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan