Ahad, 22 Jun 2014

Dugaan Hidup

Dugaan ALLAH... Semakin Kita Kuat Atau Semakin Kita Lemah?

Kadang-kadang kita rasa yang kita cukup kuat untuk hadapi segala dugaan dan cubaan dalam hidup kita sebab ada kalanya kita kuat dalam mengharungi dugaan dan cubaan itu. Kadang-kadang kita rasa yang kita tiada langsung kekuatan untuk hadapi segala dugaan dan cubaan dalam hidup kita sebab ada kalanya kita seakan tewas dalam dugaan dan cubaan itu sendiri. Aku yakin setiap daripada kita pasti pernah merasakan hal sedemikian, bukan? Tetapi, pernah atau tidak kita cuba melihat apa yang ada di sebalik perasaan itu?

Apa yang aku dapat lihat melalui perasaan sebegitu ialah... Sebenarnya hati yang ada di dalam setiap diri manusia itu, sifatnya lemah. Tersangat lemah sehinggakan ia mewujudkan perasaan sedemikian. Kenapa? Masih tidak dapat nak lihat hubung kaitnya? Bagi aku cukup mudah... Perasan atau tidak, kita menjadi kuat bila kita sering berkata kepada hati, semuanya akan pulih seperti sedia kala nanti...  Tetapi, pada saat kita mula membisu kepada hati, membiarkan dugaan itu menyelubungi hati kita, kita menjadi semakin lemah. Dan akhirnya pasti tewas dalam dugaan dan cubaan itu.

Setiap kali dugaan dan cubaan itu hadir dalam hidup kita, kita pasti akan mengeluh. Kita pasti akan mencari di mana silapnya dalam hidup kita. Kita akan menjadi terlalu memikirkan dugaan itu sehinggakan kita hanyut di dalam dugaan itu. Aku tidak menafikan yang aku juga pernah hanyut dalam dugaan hidup ini. Aku mula merasakan diri aku tidak berguna malah lebih teruk lagi apabila aku merasakan yang aku semakin hilang harapan. Seolah tiada apa lagi yang tinggal untuk aku dalam hidup ini. Terus-terang aku katakan, aku masih merasakannya sekarang. Astaghfirullah Al 'Azim... Semoga ALLAH mengampunkan aku.

Dugaan dan cubaan yang hadir dalam hidup kita datangnya dari ALLAH jua. 'DaripadaNya ia datang, dan kepadaNya ia kembali'. 'Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya'. 'Setiap kesukaran pasti akan ada kesenangan di kemudiannya'. 'ALLAH tidak akan sesekali menduga hambaNya di luar kemampuan hambaNya'. 'Setiap dugaan yang ALLAH berikan pada hambaNya adalah tanda kasih sayangNya pada hambaNya'. 'Setiap dugaan itu adalah penawar dosa'. Aku yakin setiap daripada kita pasti sudah pernah mendengar ayat atau ungkapan-ungkapan sebegini bukan? Jadi untuk apa kita takut dalam menghadapi dugaan ALLAH ini sedangkan ungkapan-ungkapan ini adalah janji ALLAH pada hamba-hambaNya.

ALLAH itu cukup sempurna sifatNya. Jika Dia yang memberikan dugaan, pasti Dia lah juga yang menjadi penyelesainya. Kita sering mohon yang terbaik untuk hidup kita tetapi kita tidak pernah melihat dugaan itu juga adalah yang terbaik untuk hidup kita. Apabila kita menghadapi satu-satu dugaan itu, kita mula belajar untuk teruskan kehidupan biarpun sesukar mana sekalipun. Bukankah dugaan itu dugaan yang baik? Kita akan menjadi seorang yang kuat, miliki daya saing yang tinggi dan terus ada nilai-nilai positif dalam diri. Semuanya punca daripada dugaan itu tadi. Bukankah ALLAH dah makbulkan doa kita yang kita mohon agar diberikan segala yang terbaik dalam hidup kita? Bayangkan kalau tiada dugaan, segalanya menjadi mudah... Mungkin, kita sendiri tidak tahu erti tabah dan kuat itu.

Namun begitu, ungkapan-ungkapan itu masih tetap memainkan peranannya. Kerana di awal tadi, aku ada katakan yang hati kita ini lemah. Hati ini memerlukan si akal untuk menyalurkan segala aura positif kepadanya. Si akal mula menggunakan ungkapan-ungkapan itu sebagai aura positi kepada si hati. Dan akhirnya hati mula menjadi yakin akan setiap ungkapan yang dibisikkan kepadanya melalui si akal. Bayangkan kalau ungkapan-ungkapan itu tidak wujud, aku yakin bukan setakat aku tetapi setiap yang bergelar manusia itu pasti akan mati. Mati jiwanya, mati semangatnya. 'Ikut rasa binasa, ikut hati mati...' Sebab itulah ALLAH kurniakan akal kepada setiap ciptaanNya yang bernama 'manusia'.

Dari mana datangnya ungkapan-ungkapan ini? Kita lupa... 'DaripadaNya ia datang, dan kepadaNya ia kembali'. Semuanya datang dari ALLAH SWT melalui kalamNya sendiri. Al- Quranul Karim. Jadi, ungkapan-ungkapan itu bukan sekadar ungkapan semata. Bukan sekadar untuk menenangkan si hati yang lemah. Bukan sekadar untuk menjadi aura positif pada diri. Tetapi ia lebih daripada itu. Ia adalah janji ALLAH kepada hamba-hambaNya. Aku mula teringat salah satu hadis yang pernah aku baca. Rasulullah pernah bersabda melalui wahyu daripada ALLAH bahawa sesungguhnya ALLAH mengharamkan diriNya sendiri daripada bersifat zalim... Subhanallah... Kerana itulah ALLAH memberi janjiNya kepada hamba-hambaNya dan sesungguhnya ALLAH itu tidak pernah memungkiri janji.

Apa pun kita kena yakin yang ALLAH itu Maha Mengetahui akan apa yang diperlukan oleh hamba-hambaNya... Apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216 yang bermaksud:

"Diwajibkan ke atas kamu berperang, pada hal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik untuk kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu, ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."

Bukankah ayat ini jelas menunjukkan yang dugaan itu juga baik untuk kita. Jadi, untuk apa kita berada dalam keadaan keluh kesah, menangisi nasib diri dan meratapi masa sukar kita? Aku ingin menjadi kuat. Ingin menjadi seorang yang tabah. Ingin memiliki kesabaran yang tinggi. Apalah sangat dugaan yang aku hadapi sekarang ini kalau nak dibandingkan dengan dugaan yang ALLAH berikan kepada umat-umat terdahulu? MasyaALLAH... Lebih kecil daripada seekor semut yang dibandingkan dengan seekor gajah rupanya. Mudah-mudahan ALLAH memberikan keampunanNya kepadaku yang hampir tewas dalam dugaanNya. Rupanya, apabila kita mula berputus asa, kita sebenarnya mula berputus harap kepada ALLAH dan itu akan buatkan kita terputus dari rahmatNya. Na'uzubillah. 

Ampunkan aku, Ya ALLAH... Permudahkanlah untuk aku harungi dugaanMu ini. Sematkanlah di dalam diriku setinggi-tinggi sifat kesabaran yang menjadi pintu untuk aku menjadi hambaMu yang tabah dan kuat. Sesungguhnya aku sandarkan segala pengharapanku kepadaMu kerana Engkau Yang Lebih Layak meletakkan ketetapan perjalanan hidupku di bumiMu ini. Dan aku... Hanya mampu mohon akan apa yang terbaik untuk diriku... AMIN Ya Rabbal 'Alamin...

~Waallahu'alam~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan