Lelaki Idaman Wanita
LELAKI IDAMAN WANITA SOLEHAH
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap
wanita solehah berkeinginan dan berhajat memiliki seorang suami yang
soleh dan bertanggungjawab. Suami yang soleh bukan saja akan menjadi
suami pilihannya ketika di dunia tetapi suami yang soleh dan berakhlak
Islam akan menjadi suami pilihannya ketika di syurga nanti.
Umi
Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW : "Seorang wanita di dunia yang
telah menikah dua suami, tiga atau empat dan ia meninggal, kemudian ia
masuk syurga dan mereka pun masuk syurga. Wanita itu tinggal dengan
siapakah diantara mereka?"
Maka,
Nabi SAW menjawab maksudnya : "Hai Umi Salama, ia dipersilakan untuk
memilih, kemudian ia memilih di antara mereka yang paling mulia
akhlaknya. Lalu ia berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya suamiku ini
adalah yang paling mulia akhlaknya ketika saya bersamanya di dunia.
Maka, nikahkan aku bersamanya,"
Hai Umi Salamah, akhlak yang mulia akan membawa kebaikan kehidupan dunia dan akhirat."
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat 10 ciri-ciri pilihan wanita solehah untuk memilih lelaki yang bakal menjadi teman hidupnya :
Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.
3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.
5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.
6. Selalu memperbanyakan amalan sunat.
7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.
8. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.
9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.
10.
Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana
sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.
Huraiannya :
1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sifat yang paling penting untuk menjadi seorang lelaki yang soleh dan bertakwa adalah mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.
Firman
Allah SWT maksudnya : “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan
Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang
dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada
dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang
sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisaa ayat 69)
2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.
Hal
ini kerana Islam mengajar yang ilmu itu tidak dapat berdiri dengan
sendiri. Tertegaknya ilmu sehingga ia membawa kebaikan ialah dengan
adanya sokongan iman. Dan kerana dua benda inilah, Allah mengangkat
darjat seseorang. Sesungguhnya ilmu tanpa iman adalah sia-sia dan tiada
gunanya di sisi Allah S.W.T
Firman
Allah SWT maksudnya : "Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu:
'Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala
itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar".(Surah al-Qasas ayat 80)
Firman
Allah SWT dalam surah Al-Fathir, ayat 28 yang bermaksud : "
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya
hanyalah ahli-ahli ilmu (ulama) "
Diriwayatkan
oleh AtTabrani daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda maksudnya :
" Sesorang yg berilmu adalah lebih sukar bagi syaitan menipunya
berbanding seribu orang abid (ahli ibadah)"
3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Seorang mukmin yang beristiqamah dengan Islam akan sentiasa memikul tugas amar makruf dan nahi mungkar .
Firman
Allah SWT yang bermaksud : "Hendaklah terdapat antara kamu segolongan
yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah
golongan yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)
Kewajipan
melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga
disebut dalam hadis yang bermaksud: "Siapa yang melihat kemungkaran
hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu
hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia
mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah
iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah
SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah
perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah sesuatu
kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap muslim
harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat.
Pertama, ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan
hati. Berdasarkan hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar
makruf dan nahi mungkar kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan
baik, manakala nahi mungkar ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.
4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.
Salah
satu sifat orang mukmin adalah sentiasa mempunyai semangat juang yang
tinggi untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT di muka bumi dan
sentiasa berjihad di jalan-Nya.
Firman
Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, yang telah
percaya dengan Allah dan rasul-rasul dan yang tidak ada pada mereka itu
keadaan ragu dan mereka berjuang dengan menggunakan harta-harta dan diri
mereka di jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar.”
(Surah al-Hujurat ayat 15)
5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.
Sifat
orang mukmin sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. secara
berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa.
Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar
atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak
diketahui atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya.
Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan
sebagainya juga tidak terkecuali.
Allah
SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai
orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
6. Selalu dan memperbanyakan amalan-amalan sunat.
Allah
SWT berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan
sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan
sayang kepadamu.”
Solat
sunat yang dilakukan dengan baik akan dapat menampung kekurangan
didalam solat fardu.Begitu juga puasa sunat dapat menampung puasa wajib,
sedekah dapat menampung kekurangan zakat dan juga haji dan umrah sunat
dapat menampung ibdah haji yang wajib.
Amalan-amalan
sunat yang lain seperti berzikir, berselawat dan membaca al-Quran akan
dapat mendekatkan hati dan jiwa kepada Allah SWT.
7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.
Firman
Allah SWT maksudnya : "Dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang
adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan
yang selamat dari perkara yang tidak diingini."
(Surah Al-Furqaan, ayat 63).
Nabi
SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah SWT menghimpunkan makhluk-Nya
di hari kiamat, penyeru pada hari itu menyeru: "Di manakah orang-orang
yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: "Lalu bangun segolongan
manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan
cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat." Kemudian
mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu?" Mereka menjawab: "Apabila
kami di zalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami,
kami berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke
dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang
beramal".
8. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.
Orang
mukmin akan memahami Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan
sempurna dan seterusnya mengamalkan nya di dalam kehidupan sebagai
individu muslim-mukmin, dalam keluarganya dan seterusnya masyarakat.
Allah
S.W.T. berfirman maksudnya :“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari
bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan,
atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu
dengan mencari reda Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang
besar.” (Surah an-Nisa ayat 114)
Allah
SWT menjelaskan ayat di atas bahawa semua hal di atas bagi sesiapa pun
yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang kebaikan dan
menolak keburukan. Juga Allah SWT janjikan bagi mukmin yang mengharap
pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala yang besar. Termasuk dari
pahala yang besar itu adalah hilangnya kerisauan, kesusahan, kekeruhan
hati, dan seterusnya.
9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.
Sifat mahmudah adalah sifat berlapang dada , penyantun dan pemaaf.
Dalam
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:"Seorang lelaki berkata:
Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya aku mempunyai kerabat. Aku jalin tali
silaturrahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskan aku. Aku berbuat
baik kepada mereka, tapi mereka berbuat buruk kepadaku. Aku bersikap
santun terhadap mereka, tetapi mereka menganiayaku. Maka Rasulullah SAW
bersabda: 'Jika engkau adalah sebagaimana yang engkau katakan, maka
seolah-olah engkau memberi makan mereka dan Allah SWT akan selalu
memberikan pembelaanNYA kepada engkau atas mereka, selama mana engkau
berada dalam keadaan demikian." (Hadis Riwayat Muslim: 2558: Al-Birru wa
As-silah)
Berlapang
dada adalah sifat yang sangat penting dalam kehidupan para sahabat r.a
sekaligus merupakan sifat mulia yang yang mengangkat darjat mereka.
10.
Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana
sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.
Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan
diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya dan dijadikan diantara mu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berfikir."
Rasulullah
SAW bersabda maksudnya : "Orang yang paling baik di kalangan kamu
adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di
kalangan kamu terhadap ahlinya"
Rasanya aku ada ciri-ciri tu ...insaallah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan