Selasa, 16 September 2014

MENGINGATI Allah atau zikrullah adalah amalan yang paling mulia melalui pergerakan lidah, kesedaran akal budi dan keinsafan hati dan jiwa.


Dengan mengingati Allah manusia akan berasa ketenangan jiwa kerana dia menyedari bahawa berada di samping Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang kepada hamba-Nya.

Apabila dia kembali kepada-Nya, maka sebenarnya dia kembali berpaut kepada asas yang kukuh. Manusia kadang-kadang gelisah menghadapi masa depan belum pasti keadaannya atau kadang-kadang berasa lemah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mendepaninya.

Dalam hal ini, sekiranya orang yang beriman kepada Allah, mereka akan ingat bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas segala sesuatu, Allah Maha Melihat segala-galanya, Allah mampu mengatasi semua hal di dunia ini.

Dengan demikian akan tenanglah jiwanya. Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Perasaan tenang itu wujud kerana jiwanya berhubungan langsung dengan Allah dan rasa selamat di bawah jagaan-Nya. Ketenangan hati orang yang beriman hasil daripada zikrullah itu adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh orang yang hatinya diliputi oleh kemanisan iman. Ia tidak boleh diungkapkan melalui kata-kata kepada orang yang tidak menghayatinya. Bahkan, ia sesuatu yang meresap ke dalam hati sehingga ia berasa tenang dan sejahtera dengannya.

Akhirnya ia merasai bahawa dia tidak keseorangan tanpa teman rapat di dunia ini. Pada hal apa yang ada di sekelilingnya adalah kawannya kerana semua ciptaan Allah dan di bawah jagaan-Nya belaka. Tidak ada orang yang paling menderita di dunia ini daripada mereka yang hilang ketenangan berdampingan dengan Allah.

Orang yang mengingati Allah di dunia ini memperolehi ketenangan jiwa, sementara di akhirat pula mendapat keampunan dan ganjaran yang besar. Firman Allah bermaksud: "... dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Rasulullah SAW adalah pimpinan dan model bagi orang yang berzikir. Baginda menyebut nama Allah pada setiap saat - ketika makan dan selesai daripadanya. Ketika minum atau sehabisnya. Ketika memakai pakaian dan menanggalnya, ketika masuk rumah dan keluar daripadanya, ketika hendak tidur atau bangun daripadanya.

Demikian juga ketika keluar untuk musafir atau baliknya, ketika menunggang kenderaan atau ketika memasuki sesebuah kampung. Begitulah ketika menziarahi kubur, ketika kemarau dan solat minta hujan, ketika angin bertiup kencang, ketika hujan lebat atau banjir.

Ringkasnya tidak berlaku sebarang keadaan atau kejadian melainkan hatinya sentiasa ingatkan Allah dan sekaligus lidahnya akan menyebut nama Allah dalam erti kata zikir kepada-Nya.

Dengan mengingati Allah akan tersedar hati orang yang beriman terutama ketika syaitan menjerumuskannya kepada dosa sehingga melakukannya, dia tidak biarkan dalam keadaan demikian.

Dia akan mengingati bahawa dia ada Tuhan yang sedia memberi keampunan dan menerima taubat, sebagaimana firman-Nya bermaksud: " Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, ayat 135].

Ingatkan Allah akan datang kepada seseorang ketika masa lapangnya. Alangkah banyaknya masa lapang yang kita gunakan untuk berseorang diri apa lagi pada waktu akhir malam yang sunyi sepi.

Apabila kita ingatkan Allah, mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang terjadi di sekeliling akan menjadi lembut hati dan dengan tidak disedari mengalir air mata membasahi pipi, semoga Allah mengampunkan segala dosa kesalahannya. Ia kerana termasuk dalam golongan orang yang bakal mendapat bayangan teduh Allah pada hari kiamat nanti seperti disebut dalam hadis:"... seorang yang mengingati Allah ketika sunyi lalu menglir air matanya …."

Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan